Ini 8 Cara Manja Isteri Patut Buat Bila Sambut Suami Pulang Kerja Lewat Malam.

Lepas seharian di tempat kerja dan ditambah pula dengan pelbagai masalah, tentu sahaja suami rasa tidak sabar untuk pulang ke rumah. Rasa penat suami akan terlerai apabila isteri menyambut kepulangan suami dari kerja dengan persediaan dan penuh kasih sayang.

Apatah lagi cara-cara yang dinyatakan ini bukanlah sesukar mana untuk isteri lakukan. Jika dimulakan dari awal rumah tangga, pasti ia akan menjadi satu kebiasaan dalam diri anda dan suami.

Bagi suri rumah tangga ataupun isteri yang sering pulang awal berbanding suami jom amalkan lapan cara ini. Selain melegakan kepenatan dan suami inginkan penghargaan atas usaha kerasnya di tempat kerja, tip ini juga boleh membuatkan suami teruja untuk pulang awal bertemu orang yang dicintainya.

1. BERSIMPATI DENGAN SUAMI

Saat kepulangan suami, tunjukkan rasa simpati isteri dengan kepenatan yang suami rasai setelah seharian di tempat kerja. Bukan itu sahaja, anda juga harus memahami pelbagai kemungkinan yang suami alami di tempat kerja misalnya dimarahi ketua, dibebani dengan pelbagai tugasan, bertengkar dengan rakan sekerja dan sebagainya.

Jika anda memahami tanggungjawab suami dalam mencari sumber rezeki untuk keluarganya, pasti anda akan lebih menghargai kepulangan suami dan tahu saat suami sedang bersedih, marah atau gembira.

2. SIAPKAN KEPERLUAN SUAMI

Setiap suami tentu sahaja inginkan istirahat yang cukup sekembalinya dari tempat kerja. Sebagai isteri, anda tentu sahaja tahu apa yang diperlukan oleh suami kerana setiap orang berbeza-beza.

Ada suami yang inginkan secawan kopi atau teh panas sekembalinya dari kerja, tak kurang juga cukup dengan segelas air kosong sebagai pembasah tekak dan penyejuk hati. Jika perlu, anda juga boleh mengurut suami untuk meregangkan otot-ototnya.

3. JAGA PENAMPILAN DIRI

Perkara ini memang kurang diperhatikan oleh isteri. Percayalah dengan menunjukkan penampilan yang menarik boleh mengubah mood suami menjadi lebih bersemangat semula.

Sebenarnya anda tidak perlu untuk bersolek mampan tetapi berusahalah untuk tampil menarik dengan memakai pakaian yang kemas dan badan tidak berbau sekembalinya suami dari tempat kerja. Pastikan juga rambut anda diikat rapi dan jangan dibiarkan berserabai seperti hantu Mak Limah.

Namun bagi yang tidak bekerja ambil kesempatan anda berada di rumah dengan menyiapkan diri anda sebaiknya. Berhiaslah untuk menyambut kepulangan suami tercinta tanpa berlebih-lebihan.

4. BERI SENYUMAN MANIS

Berikan senyuman manis saat menyambut kepulangan suami kerana senyuman adalah senjata yang paling berkesan untuk membuatkan hati suami ceria. Sebanyak mana pun masalah suami di tempat kerja, rasa beban itu akan segera hilang apabila melihat senyuman manis orang yang dicintainya.

Walaupun isteri berdepan dengan masalah, usahakanlah untuk tidak menunjukkan wajah yang murung atau masam apabila suami balik dari kerja kerana ia akan menambahkan lagi bebanan suami yang dalam kepenatan.

5. BERI PELUKAN & CIUMAN

Betapa bahagianya suami ketika pulang ke rumah apabila isteri menyambut suami dengan sebuah pelukan hangat dan ciuman yang penuh kasih sayang. Pelukan ini akan meringankan bebanan suami selain mengeratkan lagi kasih sayang antara anda berdua.

6. PASTIKAN RUMAH BERSIH

Selain penampilan isteri, suasana rumah yang bersih dan tersusun rapi juga boleh menenteramkan jiwa suami apabila pulang dari kerja. Oleh itu usahakan untuk anda mengemas rumah sebelum suami pulang ke rumah.

Bukan sahaja suami, sesiapa pun akan pening kepala apabila melihat rumah bersepah seperti tongkang pecah. Ini kerana rumah yang bersepah akan mempengaruhi suasana hati suami kerana suami tidak dapat beristirahat dengan selesa dan tambah tertekan. Jadikan rumah yang bersih dan rapi sebagai syurga untuk memadu kasih dan menghibur suami.

7. HIDANGKAN MAKANAN KEGEMARANNYA

Perkara yang paling dinanti-nantikan suami ketika pulang kerja tentu sekali apabila dapat menikmati masakan daripada air tangan isterinya. Apalagi jika isteri memasak makanan kegemaran, pasti tambah berselera suami menjamahnya.

8. BIARKAN SUAMI REHAT

Sekembalinya suami dari kerja jangan sesekali isteri membebani suami dengan masalah. Berikan suami berehat seketika bagi melepaskan lelahnya. Jangan lontarkan pertanyaan demi pertanyaan ataupun masalah kepada suami yang dapat memancing berlakunya pertengkaran. Jika ada masalah yang anda ingin ceritakan kepada suami, pastikan suami sudah berada dalam keadaan yang tenang dan cukup rehat.

Related posts

Leave a Comment