Polis Tahan 93 Mat Rempit Tetapi Tidak Dibawa Terus Ke Balai Sebaliknya Ke Masjid. Subhanallah Terbaiklah Cara Ni.

LANGKAWI: Seramai 93 mat rempit bukan sahaja terpaksa menolak motosikal sejauh 10 kilometer, malah turut dibawa ke masjid untuk menunaikan solat taubat.

Itu antara pengajaran perlu ditempuh mat rempit berusia antara 15 dan 28 tahun selepas mereka ditahan dalam Ops Samseng Jalanan bermula tengah malam tadi dan berakhir jam 7 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata operasi bersepadu disertai pelbagai agensi itu memfokuskan lima lokasi terpilih sekitar daerah ini.

Katanya, seramai 93 individu terdiri daripada 81 lelaki dan 12 wanita ditahan dan sejumlah 103 saman turut dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya.

BUKAN KE BALAI POLIS TETAPI MASJID SAMBIL MENOLAK MOTOR
“Sebaik ditahan, mat rempit diarah menolak motosikal sejauh kira-kira 10 kilometer ke balai trafik sebelum mereka diminta ke Masjid Al-Hana, Kuah, untuk menunaikan solat taubat dan solat Subuh berjemaah.

“Bagi tujuan itu, pihak masjid menyediakan telekung kepada pesalah wanita dan kain pelekat untuk lelaki,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, operasi terbabit turut disertai pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Agama Daerah Langkawi dan Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah.

“Bagaimanapun, seorang anggota trafik berpangkat Sarjan mengalami luka pada lutut dan tapak tangan akibat terjatuh ketika cuba menahan kumpulan mat rempit.

“Kita juga menyita 85 motosikal dan ahli keluarga semua pesalah turut dihubungi sebelum mereka diserahkan kembali kepada waris,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *