Api di Bawah Lautan Menjadi Bukti Kebenaran Al Quran dan Hadits.

Author:

Dengan sifat air yang sejuk, ia mampu memadamkan api yang bersifat panas membara. Sebaliknya api yang membakar boleh pula merubah air menjadi panas mendidih hingga menukarkan bentuk cecairnya menjadi gas (wap).

Berdasarkan prinsip asas ini, bagaimana jika ada yang menyatakan kepada anda bahawa api boleh menyala di dalam air? Sudah tentu dengan asas ilmu sains yang dimiliki, kita pasti menolak kenyataan ini. Masakan dua elemen yang sangat bertentangan ini boleh bersatu tanpa menyebabkan salah satu daripadanya berubah atau musnah. Sama ada api terpadam atau air berubah menjadi wap.

Jika anda merasa sukar untuk menerima kenyataan ini, bagaimana pula masyarakat Islam yang hidup di padang pasir, 1400 tahun dahulu. Tidak dapat dibayangkan apakah reaksi para sahabat apabila kenyataan ‘pelik’ ini dikeluarkan sendiri oleh Baginda Rasulullah s.a.w. Sabda Baginda yang bermaksud: “Tidak ada yang mengharungi lautan kecuali orang yang menunaikan haji, umrah atau orang yang berperang di jalan Allah. Sesungguhnya di bawah lautan terdapat api dan di bawah api terdapat lautan.” (Riwayat Abu Daud).

Malah kenyataan ini juga dikeluarkan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Thur yang bermaksud: “Demi bukit Thursina dan demi kitab yang ditulis, pada lembaran yang terbuka. Dan demi Baitul Ma’mur, dan demi bumbung yang ditinggikan (langit), dan demi laut yang di dalam tanahnya ada api.

Sesungguhnya azab Tuhanmu pasti berlaku. Tidak sesiapa pun yang dapat menolaknya.” (Surah al-Thur 52: 1-8)

Masyarakat Arab yang hidup ketika al- Quran diturunkan, tidak dapat memahami dengan tepat sumpah Allah terhadap laut yang terdapat api di dalam tanahnya. Mana mungkin dua unsur berlawanan ini boleh wujud serentak pada satu tempat tanpa merosakkan salah satunya.

Kenaifan ilmu sains, terutamanya ilmu tentang gunung berapi, mendorong umat Islam waktu itu beranggapan kenyataan yang terdapat dalam hadis dan ayat al-Quran di atas sebagai satu peristiwa futuristik yang belum berlaku. Kekeliruan ini menyebabkan sebahagian ahli tafsir mentafsir kenyataan dalam surah al-Thur ini sebagai salah satu alamat berlakunya hari kiamat sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Takwir yang bermaksud: “Dan apabila lautan dipanaskan.” (Surah al-Takwir 81: 6)

Penemuan Api di dalam Laut 

Selepas Perang Dunia Kedua, pengkaji mula mencari bahan api alternatif yang baru bagi menggantikan bahan api sedia ada.Penggunaan melampau bahan api seperti minyak dan arang batu menyebabkansimpanannya semakin merosot. Justeru itu, penyelidikan di dasar laut mula dilakukan untuk mencari sumber baru ini.

Penerokaan ke laut dalam menemukan mereka dengan sesuatu yang menakjubkan. Mereka menemui rangkaian gunung-gunung berapi (volcanic mountain chain) yang menganjur beribu-ribu kilometer di dasar laut.

Kajian lanjut yang dilakukan ke atas rangkaian gunung ganang ini menunjukkan dengan jelas  bahawa gunung-gunung yang terletak di tengah samudera ini terdiri sebahagian besarnya daripada batuan gunung berapi(volcanic rocks) yang berupaya meledak sebagaimana gunung berapi di darat.

Lebar gelinciran gunung berapi ini dapat mencapai lebih dari 64,000 km sedangkan kedalamannya mencapai 65 km. Kedalaman gelinciran ini menembusi lapisan batuan bumi

secara penuh hingga menyentuh lapisan astenosfera (lapisan bumi ketiga) yang memiliki unsur batuan yang sangat elastik, semi cair, dan memiliki tahap kepadatan dan kelikatan tinggi.

Batuan ini ditolak oleh arus panas ke dasar semua lautan dan beberapa lautan seperti Laut Merah dengan suhu mencapai 1,0000C. Batu-batuan elastik yang beratnya mencapai jutaan ton ini mendorong kedua sisi lautan atau laut ke kanan dan kiri yang kemudian disebut oleh para ilmuwan dengan “fenomena perluasan dasar laut dan samudera.” Kawasan – kawasan yang terhasil daripada proses peluasan ini dipenuhi magma yang menghasilkan api di dasar lautan.

Para saintis tidak dapat mencari jawapan kepada fenomena bagaimana air laut tidak dapat memadamkan magma yang bernyala! Dan bagaimana pula magma yang sangat panas tidak memanaskan air laut dan menukarnya menjadi wap.

Ilmuwan yang mengkaji gunung berapi ini takjub dengan keserasian api dan air yang sangat harmoni. Seolah-olah tahap kesejukan air dan kepanasan magma dilaraskan dengan begitu tepat hingga kedua-duanya tidak memberikan kesan kepada yang lain.

Keseimbangan dua perkara yang berlawanan; air dan api di atas dasar samudera bumi, termasuk di dalam lautan Antartika Utara dan Selatan dan dasar lautan lain seperti Laut Merah, merupakan saksi hidup dan bukti nyata atas kekuasaan Allah s.w.t. yang tiada batas.

Mukjizat Saintifik

Tiada siapa pun mengetahui kewujudan gunung berapi di dasar laut ini sehinggalah beberapa dekad terakhir ini. Oleh itu, ungkapan Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah meneroka dasar laut, tentang api di dalam laut ini adalah mukjizat yang Allah kurniakan kepada Baginda. Ini membuktikan segala yang dituturkannya adalah wahyu Allah. Mengkaji sabda Rasulullah s.a.w. dari neraca sains dan ilmu moden adalah satu usaha yang sangat menarik. Ia menjadi bukti tersendiri terhadap kenabian Baginda s.a.w. dan kesempurnaan kerasulannya.

 

 

Rohidzir Rais

Leave a Reply

error: Content is protected !!