Walaupun Hanya Duduk Di Pondok Sangkar Ikan, Rumah Tetap Bersih dan Sangat Kemas Sangat.. Bagusnya Pasangan Muda Ni.

Author:

BIASA tak tengok keluarga yang mempunyai rumah, tetapi keadaan dalam tempat tinggal mereka itu tak macam rumah? Ha… macam mana tu?Ala… yang biasa orang cakap macam tongkang pecah. Kalau ikut Kamus Dewan, tongkang tu maksudnya perahu yang agak besar dan berdasar rata yang digunakan untuk mengangkut barang-barang.

Jadi bayangkanlah bagaimana rupa tongkang tu bila dah pecah? Mesti tunggang-langgang kan?… Maksudnya dah tak serupa rumahlah tu…Akan tetapi, sudah sepatutnya, bagaimana bentuk gaya tempat tinggal kita sekali pun, tempat kita tidur, makan minum dan hidup berkeluarga sepatutnya kemas dan rapi. Jika dalam Islam pun kebersihan bukankah separuh daripada iman…

Pasangan muda ini misalnya antara contoh yang boleh diikuti. Biarpun tinggal dalam pondok atas air dekat sangkar ikan, ia tidak dijadikan alasan untuk kediaman mereka tidak dijaga rapi dan tiada kompromi terutama bab kebersihan.

Padanlah rumah milik Ahmad Mokhtar Taib dan Mariyah Ghazali kedua-duanya berusia 30 tahun dari Kampung Gong Tepah, di Sungai Marang, Terengganu ini menarik perhatian netizen yang mengagumi mereka hingga mendapat lebih 12k tanda suka dan dikongsikan.

Menurut Ahmad, beliau pun tidak menyangka foto yang diambil isterinya sekadar suka-suka mula tular sejak dua hari lalu hingga hari ini.

“Alhamdulillah, isteri saya memang seorang yang pembersih. Asal orang Kemboja, dia solehah, rajin memang dah didik dari kecil berdikari. Orang kemboja mak ayah dah ajar dari kecik macam tu. Isteri pun ada cerita selalu di Kemboja mereka macam ‘lawan’ dengan kawan untuk lihat rumah siapa yang bersih,” cerita Ahmad mengenai kelaziman isterinya itu.

Jika dilihat dari pandangan luar, ya rumah mereka memang terlihat lusuh dan seadanya. Namun begitu, masuk sahaja ke dalam, pasti mata akan tertancap dengan susun atur dan kekemasan rapi serta kebersihannya. Biarpun sederhana, yang penting rumah lengkap dengan bekalan air dan elektrik itu kemas dan terletak.

Lucunya, sampai ke periuk belanga mereka pun menarik perhatian netizen, yang bertanya bagaimana ia disental hingga bersih berkilat!

“Asalnya, ini rumah rehat tempat bela ikan. Selepas kahwin, saya ada juga ajak isteri tinggal rumah sewa. Tapi katanya dia suka tinggal di situ.

“Kita biasalah… mesti nak membahagiakan isteri. Kalau dia dah kata suka duduk situ okaylah. Memang masa saya duduk bujang biasalah, tapi isteri beritahu tak apa biar dia hias,” ceritanya kepada SinarPlus. Dan hasilnya, benarlah idea Mariyah berjaya mencipta ‘rumahku, syurgaku’.

Asalnya daripada rumah papan biasa yang berusia 12 tahun dibina oleh bapa Ahmad itu hanya lapang begitu saja, kini rumah petak empat segi yang comel itu diwujudkan ruangan kecil sebagai bilik, dapur dan ruang tamu.

Tangan yang menghayun buaian itu nampaknya benar-benar berjaya melakukan transformasi, Mariyah berdikit-dikit menghias rumah.

“Tempat kami tinggal sangkar ikan…Alhamdulillah bersyukur yang mana ada… (pakai barang) Kedai Eco je saya hias.. keluarga kecil ku,” kongsi Mariyah yang mendapat banyak sokongan dan pujian netizen.

Bahagia cara sendiri

Yang penting pasangan ini bahagia dengan cara mereka. Ditanya sama ada mereka berdepan kesulitan tinggal di situ berdua sepenuh masa sejak tujuh tahun lalu sebelum mempunyai cahaya mata, ini jawab Ahmad:

“Hujan lebat tak ada masalah, bocor sikit-sikit biasa. Dari dulu kami memang dah biasa hidup susah. Dah isteri pun suka duduk rumah tu. Malam sejuk, kawasan lapang angin kuat. Kawasan tu, ikut saya pun tak nak, tapi isteri kata biar dia buat bagi cantik.

“Isteri kata seronoknya duduk sini, tenang. Orang luar yang datang pun suka seronok, indah, petang-petang tengok burung terbang,” katanya.

Tinggal di muara sungai kerana mencari pendapatan dengan membela ikan dalam sangkar iaitu siakap dan kerapu hibrid, Ahmad tidak menafikan air di bahagian bawah rumahnya itu agak dalam.

“Tapi tak apa, rumah dan sangkar ikan ini guna pelampung. Air pasang atau surut ia akan ikut. Cuma sekali sekala bot lalu ia goyang,” kongsi pemuda berasal dari Kampung Kelulut Marang, tidak jauh dari tempat tinggalnya sekarang.

Begitupun, berikutan tidak dapat berjualan ikan yang biasanya dijual kepada taukeh yang akan memborong stok daripadanya untuk dibawa hingga ke ibu negara untuk dibela dalam kolam pancing, pasangan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun ini tidak menafikan pendapatan mereka agak terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan.

Pun begitu, memang sudah namanya rajin, bagaimanapun mereka mengambil insiatif menjual kuih secara kecil-kecilan dalam kampung buat masa ini.

Tip bontot periuk, kuali berkilat

Oh ya, khusus buat netizen yang menanyakan petua Mariyah mengilatkan bontot periuk dan kuali, ini kongsi beliau di Facebook baru-baru ini:

“Assalamualaikum

salam 25ramadhan kpd semua warga fb. Semoga kite semakin pergiatkan amalan kite dan dapat muhasabah diri kite kearah kebaikan dgn lebih sempurna..aamin…

Terima kasih jgk pada yg sudi like n share n sgt2 suke pada rumah atas air kami.. sy post hnya untk suke2 n ingin berkongsi hiasan dalaman rumah sy yg dihias dgn perhiasan bajet kedai eco. Alhamdulillah dapat reaksi yg sgt2 positif dari semua..terima kasih sekali lg…

Ramai yg komen n pm tnye sy tips tuk kilatkan periuk belanga.. maaf pd mana yg sy xsempat balas sbb terlalu ramai.. dan disini sy ingt share ape yg sy gune..

Dari dulu lg,mmg sabun parrot botanical ni yg sy gune untk berus periuk belanga saya..sabun ni mmg mudah tuk tanggalkan daki2/kerak pada bontot kuali.. kalau sabun lain sy xpasti sebab sy biasa gune sabun ni je.mungkin sabun lain boleh jugak kot..hehe.sabun tu sy beli d Mydin je..mudah ade je sabun tuk.jadi kakk,ibu2 boleh g Cari siap2..saya xjual sabun tu ye

Lg satu,untk pastikan kuali,periuk belanga kite selalu bersih berkilat,kne ad disiplin yg tinggi.. sebab sy Tau ramai yg xlarat nk gosok kuali hari2…kan..letih tu nok gosok. Jenis saya,lepas gune kuali and the gang,mmg sy disiplinkn diri saya tuk terus gosok..

sy xkn biarkn kuali hitam lame2 sbb klu kite biarkn lame2,kuali akan sedikit demi sedikit akan hitam n jadi susah tuk tanggal.. jadi yg penting kena disiplin..xboleh ajar diri nantilah,nantilah lame2 jadi malas..

Dalam Islam sgt titikberatkn kebersihan,xkire dimana kne sentiasa bersih.ape lg di rumah kita,tempat kite lakukan amal ibadat.. bile rumah bersih nk buat amal pon senang hati..

Ok itu saje perkongsian sy kli ni..saya harap dpt memberi manfaat kpd semua pembaca.. Mohon maaf jika ade kesalahan yg disengajakan atau pon tidak.. semoga kita semua sentiasa berada didalam RAHMAT ALLAH… 🤲🤲🤲
Sape yg nk share dipersilakan ye..”

Ingat pesanan Mariyah itu tau…

Leave a Reply

error: Content is protected !!