Selain perkara wajib yang menjadi rutin, perkara sunat juga sangat dituntut bagi meraih keberkatan Ilahi. Walaupun kerja di rumah tak pernah putus, kita sebagai surirumah seharusnya tidak terlepas daripada merebut peluang menunaikan solat sunat dhuha pada setiap pagi.
Kenapa? Ini antara sebabnya.
7 KELEBIHAN SOLAT DHUHA YANG MENJADI REBUTAN SURIRUMAH
1. DIPERMUDAHKAN URUSAN HARIAN
Rutin harian menjadi surirumah bukanlah suatu perkara yang mudah. Kadang-kadang terlalu penat sampai nak makan pun tak sempat. Namun begitu, bukan semua orang boleh faham apa yang kita lalui, mahupun pasangan kita sendiri. Oleh itu, inilah peluang kita untuk mengadukan kepada Allah, memohon diberi kekuatan dan dipermudahkan urusan.
Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu (solat Dhuha), nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud)
Dengan mengingati Allah terutamanya pada waktu mustajab seperti waktu Dhuha, mudah-mudahan bantuan Allah pasti tiba dalam segala bentuk kemudahan dari awal pagi hinggalah ke akhir hari.
2. CARA PALING MUDAH UNTUK BERSEDEKAH
Berbanding dengan suami atau ibu-ibu lain yang bekerja, seorang surirumah mungkin memiliki kemampuan kewangan yang agak terhad. Malah, surirumah biasanya jarang keluar rumah dan mungkin kurang peluang untuk bersedekah. Namun, Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pemurah terhadap hambaNya, lalu diberikan pelbagai cara untuk tetap mendapatkan ganjaranNya.
Dengan melakukan solat dhuha, anda sebenarnya mampu merebut pahala sedekah, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis:
“Setiap pagi, setiap ruas anggota badan kalian wajib dikeluarkan sedekahnya. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, dan melarang berbuat mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diganti dengan solat dhuha dua rakaat.”
(Hadis Riwayat Muslim)
3. MENDAPAT PAHALA UMRAH
Bukan setakat mendapat pahala bersedekah, malah pahala solat dhuha juga diumpamakan dengan pahala umrah.
Dari Abu Umamah ra bahwa Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”
(Sahih Al-Targhib: 673)
4. DIAMPUNKAN DOSA
Pendapat ramai orang yang mengatakan hidup isteri sebagai surirumah sepenuh masa ialah mudah adalah tidak benar sama sekali. Terdapat banyak perkara yang perlu diuruskan dari awal pagi hingga ke malam. Bahkan, seorang surirumah menggalas tugas yang berat untuk mendidik anak-anak selain menyediakan keperluan harian. Ada yang turut bergiat aktif dalam persatuan, aktiviti taman, perniagaan kecil-kecilan dan sebagainya.
Dalam kesibukan mengurus jadual seharian, tentu kita tak terlepas daripada kelalaian atau melakukan kesilapan. Maka solat dhuha adalah antara pintu ampunan untuk kita yang disediakan oleh Allah.
“Barangsiapa yang menjaga solat Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
5. MERAIH REZEKI / KEUNTUNGAN BESAR
Salah satu fadilat yang paling lazim dikaitkan dengan solat dhuha adalah murah rezeki. Ia sebenarnya dirujuk dalam satu kisah di mana suatu ketika Rasulullah mengutus tentera Islam dalam satu peperangan. Dengan izin Allah, tentera Islam menang dan berjaya pula mendapatkan harta rampasan yang banyak.
Orang ramai bercerita singkatnya peperangan itu dan banyaknya harta rampasan perang yang diperoleh. Kemudian Rasulullah menjelaskan bahawa ada yang lebih utama dan lebih mudah memperoleh kemenangan dan harta rampasan yang banyak iaitu solat dhuha.
Sabda baginda : “Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.”
(Sahih al-Targhib : 666)
Rezeki ini mungkin kita tak nampak dari segi wang atau perhiasan, tetapi anak-anak yang soleh, keberkatan rumah tangga, kelapangan dada, dan kesihatan tubuh badan juga adalah antara nikmat yang dikurniakan kepada Allah buat kita.
6. SEBAGAI MOTIVASI PAGI
Hari seorang surirumah bermula seawal kita ‘celik mata’ hinggalah menjadi orang terakhir yang tidur. Ia adalah hari panjang untuk ditempuhi.
Setiap waktu solat sebenarnya adalah peluang untuk kita recharge. Setiap kali selesai solat, kita akan rasa lebih segar, bertenaga, dan tenang. Jika anda perasan, waktu antara solat subuh dan solat zohor adalah agak panjang berbanding selang waktu solat yang lain.
Maka dengan melakukan solat dhuha walaupun 2 rakaat, ianya tentu akan membantu kita ‘berehat’ dengan mengingati Allah dan mendapatkan kembali tenaga di antara selang waktu tersebut. Malah, kita akan rasa kerja harian lebih terurus apabila kita memberi keutamaan kepada solat dhuha.
7. RUTIN SIHAT UNTUK TUBUH dan MINDA
Selain banyak fadilatnya yang tersendiri, solat dhuha boleh membentuk rutin aktiviti jasmani yang juga baik untuk rohani. Malah secara umumnya, terdapat banyak bukti saintifik yang menerangkan kelebihan pergerakan solat yang berkualiti serta amalan zikrullah kepada fizikal dan mental seseorang, tidak kiralah berapa pun usia anda.
Di tengah kesibukan dengan anak-anak sejak awal pagi, solat dhuha memberi peluang untuk kita bertafakur, membasahi lidah mengingati Allah, dan mendekatkan diri denganNya.
BERUNTUNGLAH MEREKA YANG MENGAMALKAN SOLAT DHUHA
Doa ibu yang makbul sangat berkuasa untuk dijadikan perisai bagi mengharungi cabaran di rumah. Gunakanlah kesempatan waktu dhuha untuk menunaikan solat sunat yang amat dituntut ini.
Semoga para surirumah akan sentiasa diberi kekuatan dan menjadi sumber kemurahan rezeki serta rahmat Allah bagi seisi keluarga di dunia mahupun di akhirat, Insha Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.”
(Hadis Riwayat At-Tabrani)
Sumber : https://siraplimau.com