Saya sudah berumah tangga selama 2 tahun dan telah dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berumur 1 tahun. Saya dan suami sama-sama berkerja. Suami saya bekerja waktu pejabat manakala saya bula bekerja shift.
Ye lah, dengan kos hidup sekarang, saya bekerja walaupun dilarang keras oleh suami, tetapi saya tetap berkeras untuk mahu bekerja.
Setelah dipujuk beberapa kali, akhirnya suami izinkan saya untuk bekerja. Walaupun mempunyai gaji sendiri, suami saya melarang saya untuk membantunya membayar segala apa bil dan barang dapur di rumah. Duit nafkat saya dia tetap berikan dan segala semua dia tetap sediakan.
Pernah sekali bila saya balik dari kerja, suami saya sudah pun ambil anak dari rumah pengasuh dan suami sudah pun sediakan makan malam. Bila saya balik kerja saja, suami peluk saya dan siap cakap pergi mandi sebab mahu makan bersama dan rindu.
Ya Allah, saya serba salah dengan suami, saya malu sebab kain pun dia yang tolong basuhkan. Kalau hari cuti, kami sama, suami akan suruh saya berehat saja dengan anak dan suami akan siapkan semua kerja di rumah.
Saya rasa bersalah sebab itu semua kerja saya. Tetapi bila ditegur, suami akan cakap, itu semua tanggungjawab abang, makan minum ayang wajib abang sediakan, suami akan cakap macam itu pada saya.
Disebabkan saya takut keluarga mentua saya akan cakap yang bukan-bukan tentang saya, saya telefon ibu mentua saya untuk mengadukan perkara ini, tetapi ibu mentua saya tidak marah malah dia berasa bersyukur anaknya mampu menjaga menantu dan cucu dia.
Cuma masalahnya, saya berasa sangat segan dengan suami sebab suami terlalu baik sangat. Tapi sekarang, saya akan memujuk suami untuk duduk berehat saja dan biar saya yang uruskan hal rumah tangga seperti memasak dan basuh kain termasuklah mengemas rumah.
Alhamdulillah, suami saya masih lagi ringan tulang untuk membantu saya. Sesungguhnya, saya rasa bersyukur sangat Allah SWT pinjamkan saya seorang suami yang sangat baik.