Tidak ramai yang tahu apa kelebihan yang mereka dapat jika mereka rajin melakukan solat dhuha.
Sepertimana yang diungkapkan oleh Sayid Muhammad bin Alwi al-Maliki dalam bukunya Khasais al-Ummah al-Muhamadiyah tentang keutamaannya. Penulis menerangkan keutamaan-keutamaan yang Allah sediakan untuk hamba yang menunaikannya dilengkapi dengan sumber hadisnya.
Solat dhuha mempunyai kedudukan yang sangat mulia disisi Allah SWT. Disunahkan kepada kita untuk mengerjakan solat dhuha bermulanya dari terbitnya matahari sehingga menjelangnya kedatangan solat zohor.
Solat Dhuha Hendaklah Dilakukan Dengan Penuh Istiqomah
KELEBIHAN SOLAT DHUHA
1. Diampunkan Dosa-Dosa. Allah akan mengampunkan dosa-dosa orang yang menunaikan solat dhuha.
“Barangsiapa yang selalu mengerjakan solat dhuha nescaya akan diampuni dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan”. (HR. Tirmidzi)
2. Tergolong Orang Yang Bertaubat. Sesiapa yang menunaikan solat dhuha adalah tergolong sebagai orang yang bertaubat kepada Alah SWT.
“Tidaklah seseorang itu sering mengerjakan solat dhuha kecuali ia telah tergolong sebagai orang yang bertaubat”. (HR. Hakim).
3. Dicatatkan Sebagai Ahli Ibadah Yang Taat. Orang-orang yang menunaikan solat dhuha akan dicatatkan sebagai ahli ibadah dan taat kepada Allah SWT.
“Barangsiapa yang solat dhuha 2 rakaat, maka dia tidak ditulis sebagai orang yang lalai.
Barangsiapa yang mengerjakannya sebanyak 4 rakaat, maka dia ditulis sebagai orang yang ahli ibadah.
Barangsiapa yang mengerjakannya 6 rakaat, maka dia diselamatkan dihari itu. Barangsiapa mengerjakannya delapan rakaat, maka Allah tulis dia sebagai orang yang taat.
Dan barangsiapa yang mengerjakannya 12 rakaat, maka Allah akan membangunkan sebuah rumah di syurga untuknya.” (HR. At-Thabrani).
Janji Allah adalah pasti. Jangan berasa was-was dengan amalan kita
4. Masuk Syurga Melalui Pintu Khas. Barang siapa yang istiqomah dalam melaksanakan solat sunat dhuha, kelak dia akan dimasukkan ke dalam syurga melalui pintu khas iaitu PINTU DHUHA yang disediakan oleh Allah SWT.
“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat sebuah pintu bernama Pintu Dhuha. Apabila Kiamat tiba maka akan ada suara yang berseru, Dimanakah orang-orang yang semasa hidup di dunia selalu mengerjakan solat dhuha? Ini adalah pintu buat kalian. Masuklah dengan rahmat Allah SWT.” (HR. At-Thabrani).
5. Allah Mencukupkan Rezekinya. Allah mencukupkan rezekinya bagi orang-orang yang melakukan solat sunat dhuha.
“Wahai anak Adam, janganlah engkau merasa lemah dari 4 rakaat dalam mengawali harimu, nescaya Aku (Allah SWT) akan mencukupimu di akhir harimu.” (HR. Abu Darda`).
6. Seperti Bersedekah. Orang-orang yang mengerjakan solat sunat dhuha, sebenarnya mereka telah mengeluarkan sedekah.
“Hendaklah masing-masing kamu bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu pada setiap pagi. Sebab tiap kali bacaan tasbih itu adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada yang ma’ruf adalah sedekah, mencegah yang mungkar adalah sedekah. Dan sebagai ganti dari semua itu, maka cukuplah mengerjakan dua rakaat sholat Dhuha.” (HR Muslim).
CARA MELAKUKAN SOLAT DHUHA
Sunat Dhuha boleh dilakukan dari mula terbit matahari sehingga menjelang waktu zohor
1. Lafaz Niat Solat Dhuha:
اُصَلِّى سُنَّةَ الضَّحٰى رَكْعَتَيْنِ ِللهِ تَعَالٰى
“Sahaja aku melakukan solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta’ala”.
Solat seperti solat-solat yang lain. Anda boleh membaca sebarang surah selepas membaca Alfatihah. Walau bagaimanapun, bacalah Surah Al-Shams pada rakaat pertama dan surah Ad-Dhuha pada rakaat kedua.
2. Doa Selepas Solat Dhuha:
“Ya Allah, bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu, keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu, kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “.
“Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”
Berdoalah sesungguhnya itulah senjata utama kita
RUMUSAN
Setelah membaca artikel di atas, semoga kita semua tidak lagi memberi alasan untuk meninggalkan solat dhuha. Sekurang-kurangnya luanglah sedikit masa hanya untuk 2 rakaat jika sibuk bekerja sekalipun. Insya Allah jika kita istiqomah, lama-kelamaan akan menjadi kebiasaan. Apabila sudah sebati dengan diri kita, perasaan gelisah akan datang jika kita tidak menunaikannya.
Sumber: Tazkirah