Inilah Bukti Nabi Musa Belah Laut Merah dan Kenapa Nabi Musa Dijadikan ALLAH di Bawah Asuhan Fir’aun.

Author:

Di antara peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram ialah selamatnya Nabi Musa dan Bani Israel dari Firaun dan tenggelamnya Firaun dan bala tenteranya dalam Laut Merah.Ayat 50 surah al-Baqarah menceritakan hal ini dan hadis Nabi menerangkannya.

Saintis Barat mengemukakan teori angin bertiup yang membelah Laut Merah untuk Nabi Musa (lihat youtube). Mereka mengkaji tetapi mereka tidak beriman sepenuhnya dengan ajaran Musa itu sendiri. Di antara ajarannya ialah apabila tiba Nabi akhir zaman-Ahmad/Muhammad, maka berimanlah dengannya tetapi itu tidak berlaku. Saintis Barat hanya menjadi seperti Yahudi yang berpuasa pada 10 Muharram meraikan Nabi Musa tetapi menolak ajaran Taurat lain.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Nabi SAW tiba di Madinah. Baginda mendapati Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram). Baginda bertanya; ‘Hari apa yang kamu puasa ini?’

Jawab Yahudi: ‘Hari ini hari mulia. Allah menyelamatkan padanya Musa dan kaumnya, serta menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari Aasyura sebagai tanda syukur. Lalu kami berpuasa padanya.’ Sabda Nabi SAW : ‘Kami lebih berhak dan utama dengan Musa daripada kamu.’ Nabi berpuasa dan memerintahkan para Sahabat berpuasa juga. At-Tirmizi berkata:

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa Baginda bersabda: ‘Puasalah hari ke 9 dan 10, serta jangan sama dengan Yahudi’. Hadis ini menjadi hujjah bagi Imam Shafie, Ahmad bin Hanbal dan Ishak. (Tafsir al-Munir j1 ms 163)

Hadis tentang Yahudi di atas ada perbahasannya seperti yang disebut oleh Imam Nawawi dalam syarah hadisnya. Yang penting ialah berpuasa sunat atau membuat bubur asyura dalam keadaan sedar dengan apa yang dibuat dan menghayati Islam secara syumul, bukan hanya buburnya. Demikian juga mukjizat Nabi Musa as yang mendahului bukti saintifik. Kita membenarkan mukjizatnya walaupun tiada bukti saintifik.

LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) ‘berpusing’ dan membentuk dinding air dekat Laut Merah.BOULDER, Amerika Syarikat (AS) – Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE.

Inilah Hikmah Kenapa Nabi Musa Diasuh Oleh Fir’aun..


Salah satu pelajaran penting yang dapat kita petik hikmahnya dari kisah nabi Musa; kenapa beliau dijadikan Allah di bawah asuhan dan pendidikan Fir’aun adalah agar menjadi pelajaran nyata bagi para muballig dan pejuang kebenaran di jalan Allah untuk tidak ragu-ragu dalam menyampaikan “Al Haq” walaupun terhadap orang yang sudah sangat berjasa di dalam hidupnya.

Inilah Hikmah Kenapa Nabi Musa Diasuh Oleh Fir’aun

Jangan sampai jasa, kebaikan dan asuhan selama ini membuat kita menutup mulut untuk mengatakan kebenaran. Jangan bagaikan kerbau yang dicocok hidungnya ketika ada kebathilan yang harus diluruskan. Apalagi menutup mata rapat-rapat atas kesalahan, sehingga apapun yang ia lakukan adalah kebenaran yang wajib diterima.

Penghormatan dan penghargaan terhadap jasa adalah suatu kewajiban, Namun kebenaran lebih berhak untuk dilaksanakan.

Menyampaikan kebenaran terhadap orang yang sudah berjasa bukan artinya mengingkari terhadap jasa dan kebaikannya, apalagi diartikan sebagai perilaku yang tidak beradab dan berlaku tidak berakhlak kepada pemilik jasa. Tinggal caranya saja yang perlu diperhatikan.

PERTEMBUNGAN SIHIR FIRAUN DAN KEBENARAN MUKJIZAT NABI MUSA

Firaun dikurniakan Allah s.w.t. beberapa kehebatan dengan kerajaan di bawah pemerintahannya yang besar dan tentera yang sangat ramai. Namun, Firaun dan bala tenteranya telah dihancurkan oleh anak angkatnya sendiri iaitu Musa a.s.

Nabi Musa diutus oleh Allah bagi memimpin kaum Bani Israel ke jalan benar. Beliau merupakan anak kepada Imran dan Yukabad binti Qahat, (Musa bin Imran bin Kohath bin Lawi bin Azir bin Yakqub bin Ishaq bin Ibrahim). Musa juga bersaudara (adik-beradik, mengikut sesetengah riwayat) dengan Nabi Harun a.s., dilahirkan di Mesir pada zaman pemerintahan Firaun.

Waktu kelahirannya cukup cemas kerana Firaun menguatkuasakan undang-undang supaya setiap bayi lelaki yang dilahirkan hendaklah dibunuh. Tindakan itu diambil lantaran beliau bermimpi Mesir terbakar dan penduduknya hilang nyawa, melainkan kalangan kaum Bani Israel. Para ahli nujumnya menafsirkan bahawa kuasa negara itu akan jatuh ke tangan lelaki Bani Israel.

Khuatir dengan amaran itu, lantas Firaun memerintahkan setiap rumah digeledah, jika didapati ada bayi lelaki, mereka dibunuh. Allah s.w.t. berfirman: “Dan ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan anak-anak perempuan kamu hidup; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.” (Surah alBaqarah: 49)Ibu Nabi Musa, Yukabad merahsiakan kelahirannya. Kerana merasa bimbang dengan keselamatan bayinya, apabila Musa mencecah umur tiga bulan dia dihanyutkan di Sungai Nil.

Firman Allah s.w.t.: “Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu kepadanya: ‘Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhku dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.’ Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata kepada orang yang memungutmu: ‘Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada orang yang boleh memeliharanya?’ Maka dengan jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang hatinya dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai denganmu.” (Surah Taha 20: 3840)

Musa yang terapung di sungai itu ditemui isteri Firaun, Asiah, ketika sedang mandi dan tanpa berlengah dibawanya ke istana. Melihat isterinya memegang seorang bayi lelaki, Firaun tanpa teragak-agak menghunuskan pedang untuk membunuhnya. Asiah lantas merayu: “Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.”

Kemudian Asiah mendapatkan pengasuh tetapi tidak seorang pun yang dapat mengasuh Musa dengan baik, malah dia asyik menangis dan tidak mahu disusui. Kemudian, ibunya sendiri tampil untuk mengasuh dan membesarkannya di istana Firaun. AlQuran menghuraikan peristiwa itu: “Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya supaya senang hatinya dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

Suatu hari, ketika Firaun mendukung Musa yang masih kanak-kanak, dengan tiba-tiba janggutnya ditarik hingga dia kesakitan, lalu berkata: “Wahai isteriku, mungkin anak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku!” Isterinya berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan mengetahui apa pun.”

Sejak usia tiga bulan hingga dewasa Musa tinggal di istana itu sehingga orang memanggilnya Musa bin Firaun. Nama Musa itu sendiri diberi keluarga Firaun. “Mu” bermakna air dan “sa” bermaksud pokok sempena tempat penemuannya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.

Pertembungan antara mukjizat Nabi Musa dengan sihir dari tukang sihir Firaun bermula disebabkan satu peristiwa. Ketika Musa meninjau di sekitar kota dan terserempak dua lelaki sedang bergaduh, seorang dari kalangan Bani Israel bernama Samiri dan seorang lagi berbangsa Mesir, Fatun. Musa cuba mendamaikan mereka, tetapi ditepis Fatun. Spontan Musa mengayun penumbuk kepada Fatun, lalu tersungkur dan meninggal dunia.

Mendapati lelaki itu meninggal dunia kerana tindakannya, Musa memohon ampun kepada Allah seperti dinyatakan dalam al-Quran: “Musa berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Qasas: 16)

Tidak lama kemudian orang ramai mengetahui permergian Fatun disebabkan Musa dan berita itu disampaikan kepada pemimpin kanan Firaun. Akhirnya perintah dikelurkan untuk menangkap Musa. Disebabkan terdesak, Musa mengambil keputusan keluar dari Mesir. Beliau berjalan tanpa arah dan tujuan. Selepas lapan hari, beliau sampai di kota Madyan, iaitu kota kaum Nabi Syu’aib di timur Semenanjung Sinai dan Teluk Aqabah di selatan Palestin.

Firman Allah s.w.t.: “Dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami selamatkan engkau daripada kesusahan pembunuhan itu; dan Kami melepaskan engkau berkali-kali daripada berbagai-bagai cubaan; kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun di kalangan penduduk negeri Madyan; setelah itu engkau datang dari sana pada masa yang telah ditentukan.” (Taha: 40)

Nabi Musa pulang ke Mesir

Musa tinggal di rumah Nabi Syu’aib beberapa lama sehingga berkahwin dengan anak gadisnya bernama Shafura. Selepas menjalani kehidupan suami isteri di Madyan, Musa meminta izin Nabi Syu’aib untuk pulang ke Mesir untuk bersemuka dengan Firaun. Tongkat menjadi ular dan tangan putih berseri-seri itu adalah dua mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Musa, bagi menghadapi Firaun dan para pengikutnya.

Firaun cukup marah mengetahui kepulangan Musa dengan membawa ajaran lain daripada yang diamalkan selama ini sehingga memanggil semua ahli sihir untuk berhadapan dengan Musa.

Allah s.w.t. merakamkan kisah tersebut dalam firman-Nya:
Dan berkatalah Nabi Musa: “Hai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam.” Aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah kaum Bani Israil menyertaiku (ke Palestin).”

Firaun menjawab: “Kalau betul engkau datang dengan membawa sesuatu mukjizat maka bawalah ia (supaya aku melihatnya), jika betul engkau dari orang yang benar.”

Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata. Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya (menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang yang melihatnya.” (Surah al-A’raf 7: 104-108)

Menurut Ibnu Kathir kedua-dua bukti yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada Musa a.s iaitu tongkat dan tangan bercahaya adalah bentuk mukjizat yang luar biasa yang tidak dapat dilogikkan dengan akal. Tongkat yang menjelma ular itu menjadikan Firaun terkejut dan ketakutan yang sangat hebat manakala tangan yang bercahaya itu menjadikan pandangan orang yang melihatnya menjadi silau.

Firman Allah s.w.t.: Berkatalah pembesar-pembesar Firaun: “Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir. Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu.” (Firaun bertanya): “Oleh itu, apa yang kamu syorkan?” Mereka berkata: “Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir). Kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang mahir.” (Surah al A’raf 7: 109-112)

Ibnu Kathir mencatat bahawa Firaun telah mengumpulkan begitu ramai ahli sihir yang ada di seluruh Mesir. Ketika itu Mesir adalah tempat tumpuan para ahli sihir terkemuka, ada yang mengatakan jumlah mereka yang terkumpul adalah sangat ramai, sehingga 80 ribu orang.
Firman Allah s.w.t.: Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata: “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?” Firaun menjawab: “Benar, dan kamu sesungguhnya (akan diangkat menjadi) pembesar yang hampir denganku.” (Surah al-A’raf 7: 113-114).

Begitulah habuan yang dijanjikan oleh Firaun kepada para ahli sihir sehingga mereka sangat bersemangat serta yakin untuk mengalahkan Musa a.s.

Firman Allah s.w.t.: Mereka berkata: “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?” Nabi Musa menjawab: “Campakkanlah kamu (dahulu)!” Maka apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-masing), mereka bermain silap mata supaya menjadikan orang ramai gerun dengan sihir yang besar. Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka). Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan. Oleh sebab itu, kalahlah Firaun dan ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina. Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri sujud, sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam. (Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun.” (Surah al-A’raf: 115-122).

Menurut Said bin Jubir, ketika para ahli sihir bersujud, mereka melihat tempat-tempat tinggal dan bangunan-bangunan syurga yang tersedia untuk mereka, dan memanggil mereka, maka dengan demikian mereka tidak memperdulikan ancaman Firaun.

Menurut Dr. Shauqi Abu Khalil dalam bukunya Atlas al-Quran, Musa a.s. keluar dari ibu kota kekuasaan Firaun di Mesir menuju ke Madyan dengan melintasi Bukit Sinai. Manakala ketika kembali dengan isterinya iaitu puteri Nabi Syuaib a.s., diajak berbicara langsung oleh Allah s.w.t. di Bukit Thursina. Setelah itu Baginda meneruskan perjalanan ke Mesir, yang di bawah pemerintahan Firaun (Menephtah dari tahun 1230 SM hingga 1215 SM.

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Leave a Reply

error: Content is protected !!