Kebaikan dan Cara Menolak Cinta Suami Orang

Author:

Soalan ini saya tujukan kepada wanita-wanita cantik di luar sana. Mungkinkah suami orang lebih kacak dan matang serta berkemampuan? Bagaimana pula dengan pegangan agamanya? Harus diingatkan kepada wanita-wanita solo yang cun, molek dan solehah…pilihlah lelaki yang tinggi pegangan agamanya untuk dijadikan pasangan hidup.

Samada jodoh anda dengan suami orang atau sebaliknya itu semua adalah takdir Tuhan.

Sebelum saya pergi jauh dengan tajuk di atas, saya ingin berkongsi sebuah kisah yang ringkas untuk dijadikan renungan bersama. Seorang kenalan saya bernama Anita (bukan nama sebenar) telah bercerita tentang rahsianya yang berkahwin dengan suami orang. Dipendekkan cerita, mereka telah berkahwin di Siam dan kawan saya diwalikan oleh ayahnya sendiri. Mengapa pilih Siam? Jelas Anita, isteri tua dan kedua tidak mengizinkan mereka berkahwin. Perkahwinan rahsia mereka menjadikan Anita hanya boleh bertemu suaminya dua minggu sekali.

Teman saya seorang yang kuat merajuk, manja, berkerjaya tetapi agak kurang matang. Bagaimana agaknya nanti hidup menjadi seorang isteri rahsia walaupun hubungan mereka sah di sisi agama.

Mengapa memilih suami orang?

Mungkin ramai tertanya-tanya mengapakah pada zaman sekarang ramai wanita bujang memilih suami orang sebagai pasangan hidup mereka? Begitu juga saya. Kawan yang saya sayangi, teman rapat dan ibarat adik saya ini telah memilih suami orang sebagai pasangan hidupnya. Apakah sebabnya? Selain faktor jodoh, apakah mungkin ada sebab yang konkrit yang boleh menguatkan hujah mereka yang berkahwin dengan suami orang ini?

1. Faktor Kematangan
Orang lelaki yang telah berkahwin terbukti lebih pengalaman dan matang. Haruslah mereka bersifat matang kerana telah biasa memikul tanggungjawab terhadap keluarga sedia ada. Susah dan senangnya rencah kehidupan telah dilalui dan jatuh bangun dalam sesuatu masalah telah dilepasi dengan berjaya.

2. Kewangan yang stabil
Satu lagi alasan yang begitu kuat mengapa wanita bujang memilih suami orang sebagai pasangan hidupnya adalah disebabkan status kewangan yang kukuh. Suami orang yang berani menerima cinta baru tentu telah bersedia dengan poket yang penuh.

3. Lebih mengambil berat
Lelaki yang telah berkahwin lebih mengambil berat dan memahami hati seorang wanita. Mereka amat memahami bilakah waktu-waktunya seseorang wanita berkeadaan ‘moody’, gembira, sedih dan sebagainya. Perkahwinan pertama telah mengajarkan seorang lelaki menjadi matang dan sentiasa kelihatan tenang di mata wanita lain.

4. Romantik
Suami orang lebih romantik dan penyayang. Tetapi ingat, jangan sehingga kita dikaburi oleh sifat romantik lelaki berhidung belang yang suka mengambil kesempatan terhadap wanita-wanita muda dan bujang di luar sana. Habis manis sepah dibuang! Ingat tak peribahasa ini? Wanita muda, molek, cun dan solehah di luar sana, berfikirlah secara bijaksana dalam menilai kasih sayang sebenar daripada suami orang. Jika mereka ikhlas mengasihi wanita, mengapa tidak memilih ibu tunggal yatim piatu atau wanita mangsa dera untuk dinikahi? Renungkanlah…

Cara-cara menolak cinta dari suami orang

1. Tegas menolak cinta suami orang

Setiap wanita berhak untuk tahu latar belakang lelaki yang ingin dikenali jika sudah timbul perasaan suka dan sayang. Periksa serba sedikit latar belakangnya dan kenali karakternya. Jika lelaki itu berterus terang bahawa dia sudah berkahwin, cepat-cepat mengundurkan diri. Ingat ya, biar sakit hati sekarang daripada hati anda akan disakiti berkali-kali jika meneruskan perhubungan yang kurang sihat tersebut.

Wanita mesti tegas dengan pendirian dan mempunyai prinsip yang menunjukkan anda wanita yang pandai menghormati perasaan wanita lain.

2. Menjaga pergaulan

Hadkan hubungan mesra dengan lelaki yang telah berkahwin. Jika lingkungan kerja anda dikelilingi oleh kaum lelaki yang telah berkahwin, ambil pendekatan selamat dengan menolak keluar makan atau minum dengan mereka. Mungkin anda boleh memperkenalkan teman lelaki anda kepada mereka.

3. Memikirkan kesan jangka panjang jika berkahwin dengan suami orang

Jika anda berkeras mahu memilih suami orang sebagai pasangan hidup, ambil sedikit masa untuk memikirkan kesan jangka panjang yang bakal anda hadapi jika meneruskan niat anda itu.

Namun jika semua usaha berwaspada telah anda lakukan tetapi jodoh tetap dengan suami orang, itu sudah suratan takdir anda. Terima segalanya dengan redha dan jadilah seorang isteri yang bijak dan solehah.

Begitulah halnya dengan teman saya yang bernama Anita tadi. Selama 3 tahun beliau mengelak daripada suami orang tersebut iaitu sejak kami mengambil MBA hinggalah sekarang ini dia sedang menyambung pengajian di peringkat PhDnya. Bukan tidak ada orang bujang yang mahukannya sebaliknya kesemua lelaki bujang yang ditemui tidak serius mahu menjadikannya sebagai isteri.

Akhirnya dia redha memilih suami orang yang berani melamarnya, menerima kehadiran teman saya seadanya. Walaupun risikonya amat tinggi, dia tetap mencuba menjadi isteri yang baik walau terpaksa berkhidmat sebagai isteri secara rahsia!

Sehingga artikel ini saya tulis, madu-madu teman saya masih belum tahu kehadiran seorang lagi wanita iaitu teman saya tadi dalam kehidupan bermadu mereka.

Semoga wanita yang memilih suami orang sebagai pasangan hidup mereka, jadilah seorang isteri yang sabar, redha dan bijak. Anda sebenarnya wanita yang hebat!

Sumber: rahsiarumahtangga.com

Leave a Reply

error: Content is protected !!