Pasangan ini buntu memikirkan nasib anak sulung dorang berusia 16 tahun yang hilang dipercayai dilarikan ke Thailand oleh lelaki berusia 19 tahun sejak April lalu, sehingga kini gagal dikesan menurut Kosmo.
Mirsya Safiyyah Muhammad Samuddin berhasrat untuk masuk Kolej Vokasional di Tangok, Bachok dalam bidang jahitan pada 27 April lalu. Namun niatnya tak kesampaian lepas dia dipercayai dilarikan lelaki dikenali sebagai Mohd Edry Farhan Suding sehari sebelum tarikh pendaftaran.
Jangan terperanjat sebab kejadian kehilangan gadis ni sebenarnya adalah kali yang kedua sebab mangsa pernah dibawa lari oleh lelaki yang sama masa dia berumur 13 tahun. Tapi polis berjaya menjumpai mangsa di Kuala Krai dan kes tu pun masih dalam perbicaraan kat mahkamah.
“Saya terkejut dan terkedu sebaik mendengar suara Kak Long kerana sekian lama memendam rindu dan suaranya juga seperti cemas. Kak Long memaklumkan dia mahu pulang, namun dia sendiri tidak tahu di mana dia berada.”
“Kak Long turut memaklumkan lelaki itu ada bersamanya sebelum talian terputus.”
Dorang dah buat laporan serta berjumpa dengan Ketua Polis Kelantan dan pegawai Bukit Aman selain membuat laporan polis kati Balai Polis Golok, Thailand. Tapi masih tak ada berita lanjut.
Mangsa mengenali lelaki tu masa Tingkatan Satu kerana menghadiri sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak, tapi tak lama kerana lelaki itu dibuang sekolah. Hmmm…
“Namun, dia tidak berputus asa dan sering mencari anak saya ke sekolah hampir setiap hari menyebabkan saya mengambil keputusan memberhentikan sekolah anak saya selama setahun dan saya sendiri mengambil cuti tanpa gaji dalam tempoh berkenaan bagi menjaga Mirsya Safiyyah.”
Bila dah capai usia 15 tahun, Salina kembali menghantar Mirsya ke sekolah SMK Beris Panchor tapi lelaki tu tak putus asa dan start kacau balik anaknya itu dan sering mencari dia kat sekolah. Obses betul ni….
“Perkara itu berlarutan sehinggalah anak saya dibawa lari dari rumah pada 26 April sehelai sepinggang. Saya sudah buntu dan tidak tahu mahu meminta bantuan siapa dan lebih bimbang jika mereka berkahwin di Thailand kerana datuk kepada lelaki itu tinggal di sana,” katanya.
Salina sangat berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan anaknya yang masih dibawah umur dan berharap Mirsya Safiyyah pulang dengan selamat.
“Sejak kehilangan Mirsya Safiyyah, kami juga menerima beberapa ugutan daripada keluarga lelaki itu yang mengugut supaya menarik balik laporan polis selain membenarkan mereka berkahwin. Usaha untuk mencari keluarga lelaki itu juga gagal apabila dipercayai kesemua mereka sudah berpindah ke Thailand,” katanya.
Kalau korang mengetahui atau menemui kedua-dua remaja terbabit boleh menghubungi talian 09-7788222 atau menghubungi Insp. Nazri Mohamad di talian 016 5555576 untuk sampaikan maklumat.