Luarbiasanya Amalan Istighfar

Author:

Astaghfirullahaladzim…

Astaghfirullahaladzim…

Astaghfirullahaladzim…

Ungkapan yang amat mudah, tetapi untuk melazimi dalam menuturkannya amat sukar. Ini adalah ungkapan paling keramat buat kita yang bergelar pendosa.

Saban waktu tidak lari daripada melakukan dosa. Dengan rasa penyesalan sebagai sang pendosa, sentiasalah menuturkan astaghfirullahaladzim, kami memohon ampun kepadaMu yaALLAH.

Beristighfarlah kerana Allah akan memberikan banyak kebaikan di dalamnya.

Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa memperbanyakkan istighfar, maka akan diberi kelapangan dalam setiap kesusahan dan jalan keluar dari kesempitan. Dan dianugerahi rezeki dari jalan yang tiada disangka-sangka.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan Nasa’i).

Bacalah ia dengan hati dan merasai sehingga ke dalam jiwa kita. Pasti Allah akan memudahkan segala urusan kita.

Jika kita rasa tersepit dengan ujian, pohonlah ampun kepada Allah. Kelak Allah memberi kita jalan keluar untuk sesuatu penyelesaian dan Allah akan memberikan kita rezeki daripada arah yang tidak disangka-sangka. Ajaib bukan kuasa istighfar?

Bukan itu sahaja malahan tika tibanya musim panas dan kemarau, dan kita sangat mendambakan hujan turun.

Pasti kita akan terus merungut-rungut marah kerana panas yang berpanjangan walhal formulanya mudah sahaja, Allah hanya meminta kita untuk memohon ampun kepadaNya.

Seperti firmanNya di dalam surah Nuh, ayat 10 hingga 12,

“Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. Sekiranya kamu berbuat demikian, Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai yang mengalir.”

Jelas, pengasih dan penyayangnya Allah, tatkala kita memohon ampun kepadaNya, bukan sahaja hujan yang diturunkan, malah dikurniakan pula kita banyaknya harta, dianugerahkan pula kita rezeki anak-pinak, serta diberikan kita keindahan syurga.

Tidak kiralah berapa banyaknya dosa kita, menggunung tinggi atau seluas lautan sekali pun dosa kita yang telah kita lakukan, Allah akan sentiasa menanti dan menerima taubat hamba-hambaNya.

Istighfar sahaja, mudah bukan? Jangan terlalu ikutkan rasa beratnya hati. Lafazkan sahaja, kemudian tekadkan di dalam hati untuk meninggalkan segala perbuatan dosa.

Boleh jadi dengan ungkapan taubat dan istighfar saban waktu, menjadikan kita hamba Allah yang membenci dengan perlakuan-perlakuan dosa.

Ayuh kita menjadi seperti junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Baginda walaupun maksum dan sudah pun diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan akan datang, tetapi Baginda tetap melazimi istiqamah melakukan taubat lebih daripada 70 kali sehari.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah! Sesungguhnya aku memohon keampunan daripada Allah dan aku bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih daripada 70 kali.” (Riwayat Al-Bukhari)

Kita punya Tuhan yang penuh dengan sifat kasih sayang ke atas hamba-hambaNya. Masakan kita akan terus hanyut dengan dosa tanpa rasa bersalah dan ingin bertaubat?

Hebatnya kuasa istighfar, jika kita membacanya dan merasainya dengan hati, kelak Allah akan memberikan cahayaNya di akhirat kelak.

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuha (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: ‘Ya Rabb kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu’.” (Surah at-Tahrim: ayat 8)

Sesungguhnya maksiat yang kita lakukan akan meninggalkan tompok hitam dalam hati kita, dan akan menjadikan kehidupan kita kelam dan tidak tenteram.

Sedangkan istighfar akan membersihkan kembali noda hitam yang bersarang di dalam hati dan juga memberi cahaya dalam perjalanan kita. Istighfarlah sehingga hati kita benar-benar telah kuat.

Setelah itu bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh. Mintalah kepada Allah supaya menguatkan azam kita untuk terus kekal melazimi taubat.

Taubat dan istighfar adalah merupakan eksperi sifat kehambaan dan ketaqwaan di dalam diri setiap mereka yang bergelar hamba Allah. Sebaik-baik muhasabah adalah dengan perbanyakkan istighfar.

Anda sudah istighfar dan bertaubat hari ini? Kalau belum, ucapkanlah Astaghfirullahaladzim dengan penuh rasa cinta dan penyesalan.

Penulis: Nurul Syaahidah binti Salim.

Sumber:  www.imuslimnetwork.com

Leave a Reply

error: Content is protected !!