Saidina Uthman bin Affan RA merupakan salah seorang sahabat yang sangat rapat dengan Baginda Nabi Muhammad SAW.
Beliau lahir dari keluarga yang kaya dan berpengaruh dari suku bangsa Quraisy dan salasilah keluarganya termasuk dalam kalangan Bani Umayyah.
Saidina Uthman bin Affan RA memiliki sifat keperibadian serta akhlak yang sangat mulia. Merupakan seorang dermawan, penyabar, jujur, tawadduk (rendah hati) serta taat kepada perintah Allah SWT.
Kedermawanannya dapat dilihat ketika Perang Tabuk di mana separuh daripada perbelanjaan peperangan ketika itu ditanggung oleh beliau. Bahkan, seluruh hartanya termasuk unta dan kuda diwakafkan untuk jalan Allah.
Petikan dari kata-kata Saidina Uthman bin Affan RA:
“Aku temui manisnya beribadah dalam empat perkara. Pertama, dalam menunaikan kewajipan (fardhu) kepada Allah. Kedua, ketika menjauhi larangan-larangan Allah. Ketiga, ketika melakukan amar makruf dan mencari pahala Allah. Keempat, dalam nahi mungkar dan menjaga diri daripada kemarahan Allah.”
Berpandukan daripada petikan kata-kata itu menunjukkan kepada kita bahawasanya kemanisan ibadah itu dapat diperolehi daripada perkara-perkara di bawah:
1. Apabila kita melaksanakan segala perintah Allah.
2. Apabila kita menjauhi segala larangannya sama ada perkara yang kecil atau besar.
3. Apabila kita menyeru kepada perkara yang makruf iaitu segala perkara yang dianggap baik oleh syara’.
4. Sentiasa menjaga diri daripada mendapat kemurkaan atau kemarahan Allah SWT. Bagaimana? Caranya adalah kita melarang diri daripada perkara yang mungkar, segala perkara yang tidak diredhai oleh Allah SWT. Ianya adalah samada dari segi kata-kata mahupun perbuatan.
Semoga pesanan Saidina Uthman bin Affan RA ini dapat kita tanamkan dalam fikiran kita agar sentiasa beringat untuk melakukan kebaikan (samada kecil atau besar), lalu tumbuh menjadi kemanisan dalam hati untuk terus beribadah kepada Allah SWT dan menjauhi segala apa jua bentuk kebathilan samada yang kecil atau besar.
Setelah memerintah selama 12 tahun, pada 17 Zulhijjah tahun 35 Hijrah, Saidina Uthman bin Affan RA gugur syahid kerana dibunuh oleh pemberontak yang mengepung kediamannya. Beliau gugur syahid dalam keadaan berpuasa dan sedang membaca Alquran.
Sepanjang pemerintahnnya, Saidina Uthman bin Affan berjaya meninggikan syiar Islam sehingga ke Armenia, Khurasan, Sajistan dan daerah-daerah di Afrika Utara.
Sumbangan terbesar Saidina Uthman bin Affan RA dalam sejarah Islam adalah pengumpulan naskah asli Al-Quran dan pembukuan Alquran. Hasilnya, banyak salinan Al-Quran daripada teks asli yang telah dikumpulkan itu diedarkan ke seluruh dunia Islam sehinggalah ke hari ini.
Semoga usaha, jasa dan pengorbanan yang beliau lakukan suatu masa dahulu bernilai di sisi Allah seterusnya menempatkannya ke tingkat yang tertinggi di akhirat nanti. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya.
Inilah yang dikatakan MANISNYA DALAM BERIBADAH.
Sumber: Tazkirah